Pages

Kontrak musyarakah (UTUSAN)

ARKIB : 14/07/2010

this artikle from UTUSAN MALAYSIA

Kontrak musyarakah


Sebanyak 9/10 daripada pendapatan datangnya daripada perniagaan - gambar hiasan


Dalam artikel lepas, telah dikupas tentang konsep mudharabah yang merupakan salah satu kontrak di bawah kontrak perkongsian. Satu lagi kontrak yang termasuk di bawah kontrak berkenaan adalah musyarakah.

Dari segi bahasa, syarikah atau musyarakah bermaksud percampuran salah satu harta dengan harta yang lain sehingga tidak boleh dibezakan antara keduanya.

Dari segi istilah, para ulama mengemukakan pelbagai definisi. Definisi terbaik adalah sebagaimana yang dikemukakan oleh mazhab Hanafi iaitu: "Suatu kontrak antara dua pihak yang berkongsi dalam modal dan untung". (rujuk Fiqh Islam wa Adillatuhu, Dr. Wahbah Zuhaili, jilid IV, ms 795).

Keharusan kontrak musyarakah itu sabit daripada firman Allah SWT: ..... maka mereka bersekutu pada satu pertiga (dengan mendapat sama banyak lelaki dengan perempuan)…. (an-Nisa': 12)

Terdapat juga hadis qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a bahawa Rasulullah SAW meriwayatkan bahawa Allah SWT berfirman: "Aku adalah orang ketiga bersama-sama dengan rakan kongsi, selama masing-masing mereka tidak mengkhianati yang lain. Jika salah seorang mengkhianati yang lain, maka aku meninggalkan mereka berdua." (riwayat Abu Daud dan Hakim)

Ini bermakna, ia adalah sejenis kontrak di mana dua pihak atau lebih mengadakan perjanjian dan kerjasama dalam urusan perniagaan. Semua pihak menjadi rakan kongsi kepada yang lain.

Semua rakan kongsi bersama-sama menyumbangkan modal dan masing-masing terlibat dengan pengurusan untuk mengusahakan perniagaan berkenaan.

Sebelum perniagaan dilaksanakan, semua pihak perlu bersetuju dengan pembahagian keuntungan sekiranya ada.

Jika perniagaan itu menghasilkan keuntungan, maka semua rakan kongsi akan mendapat bahagian masing-masing sebagaimana yang dipersetujui.

Sebaliknya, jika rugi, semua rakan kongsi akan berkongsi kerugian berdasarkan modal yang disumbangkan.

Kelebihannya, setiap rakan kongsi adalah penjamin (kafil) antara satu sama lain. Sesuatu yang menjadi kewajipan kepada seseorang, akan menjadi kewajipan juga kepada seseorang yang lain.

Dalam perbankan Islam hari ini, kontrak musyarakah digunakan secara meluas. Contohnya, produk pembiayaan musyarakah mutanaqisah di mana pihak bank dan pelanggan berkongsi untuk membuat pembelian aset.

Aset tersebut kemudiannya dibeli oleh pelanggan daripada bank sedikit demi sedikit sehinggalah pelanggan mempunyai hak sepenuhnya kepada aset berkenaan.

Majlis Penasihat Syariah Bank Negara Malaysia dalam mesyuarat ke-56 pada Februari 2006 memutuskan produk pembiayaan berdasarkan kontrak ini diharuskan.

Melalui musyarakah mutanaqisah, pelanggan akan mengenal pasti rumah yang hendak dibeli dan biasanya akan membayar 10% sebagai deposit. Ini bermakna, pelanggan telah mempunyai dan memiliki 10% aset daripada rumah berkenaan. Pihak bank seterusnya akan membeli baki aset rumah itu (90%).

Ini bermakna, pelanggan dan bank memiliki bersama (co-ownership) rumah berkenaan. Kemudian, pelanggan akan membuat pembelian bahagian yang dimiliki bank secara berkala.

Sebagai contoh, pelanggan membeli 1% untuk setiap bulan. Lama kelamaan, aset yang dimiliki oleh pelanggan menjadi semakin bertambah dan pada waktu yang sama aset bank menjadi berkurangan.

Demikianlah proses berlaku sehingga pelanggan mempunyai pemilikan penuh ke atas rumah berkenaan.

Pembiayaan perumahan yang berasaskan musyarakah mutanaqisah dilihat sebagai alternatif kepada pembiayaan Bai' Bithaman Ajil (BBA). Ini kerana ramai yang kurang berminat kepada BBA disebabkan aplikasi BBA di Malaysia mempunyai elemen Bai' Inah.

Justeru, mereka ingin beralih kepada kontrak yang kurang menimbulkan kontroversi terutamanya di kalangan pakar kewangan Islam dalam dan luar negara.

Terdapat beberapa faktor yang boleh menyebabkan kontrak syarikah atau musyarakah terbatal. Antaranya, apabila salah satu pihak mengundurkan diri dari menjadi rakan kongsi dalam kontrak berkenaan.

Kontrak ini juga boleh terbatal dengan kematian salah seorang dari rakan kongsi. Ia juga tidak dapat diteruskan sekiranya salah seorang dari mereka yang berkontrak menghidapi penyakit yang menjejaskan keterlibatannya dengan pengurusan (tasarruf) seperti gila, lumpuh, koma dan sebagainya.

Elemen yang paling penting untuk menjayakan sesebuah kontrak perkongsian sama ada mudharabah atau musyarakah adalah amanah.

Sekiranya hilang sifat amanah dalam diri mereka yang terlibat, sudah semestinya segala perancangan, persetujuan dan persepakatan menjadi sia-sia.

Justeru, Nabi SAW bersabda: "Tangan Allah di atas dua rakan kongsi selama mereka tidak mengkhianati(rujuk Ibn Qudamah, Al-Mughni, jil IV, ms 1)."

0 Response to "Kontrak musyarakah (UTUSAN)"